Ditulis oleh : Ummu Abdillah
Dewasa ini kita menyaksikan ramai wanita yang telah memakai tudung di
tempat-tempat awam samada yang berjubah, berbaju kurung atau berseluar.
Ini merupakan satu fenomena yang baik jika dibandingkan dengan zaman
datuk nenek kita yang mana sukar untuk kita melihat para wanita memakai
tudung. Namun begitu, ada juga sesetengah wanita di zaman ini yang
kurang mengerti apakah pengertian sebenar menutup aurat. Sekadar memakai
tudung di tempat-tempat awam telah disangkanya menutup aurat, sedangkan
menutup aurat dan hanya memakai tudung melitupi kepala adalah dua
perkara yang berbeza. Fenomena bertudung ini akan bertambah baik
sekiranya para wanita memahami pengertian aurat dan bagaimana menutup
aurat dengan sempurna serta mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
Artikel ini akan cuba untuk mendefinisikan apakah aurat wanita yang
sebenar dan penulis akan membawakan dalil yang menunjukkan kewajipan
menutup aurat menurut al-Quran dan Sunnah, syarat-syarat pakaian yang
menutup aurat menurut syara’ serta definisi mahram.
Kepentingan menutup aurat
Mengapa manusia perlu menutup aurat?
Dan mengapa urusan berpakaian ini tidak diserahkan kepada manusia?
Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah pencipta kita, Dia lebih mengetahui
perihal hambaNya lebih daripada hambaNya mengenali dirinya sendiri. Jika
urusan pakaian ini diserahkan kepada manusia, nescaya ia boleh membawa
kepada kerosakan. Kita lihatlah sendiri, sedangkan hukum pun telah
ditetapkan, ramai wanita yang hampir sahaja bertelanjang di luar sana,
apatah lagi jika hukum ini diserahkan kepada manusia. Setiap insan, baik
lelaki mahupun wanita, perlulah berpegang teguh dengan pakaian syar’ie
iaitu cara penutupan aurat yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak
semestinya perihal berpakaian ini termasuk urusan keduniaan, maka kita
sewenang-wenangnya boleh melanggar perintah ini. Seperti yang kita sedia
maklum, Islam merupakan agama yang meliputi urusan akhirat dan dunia.
Oleh itu, ketaatan merupakan suatu kewajipan bagi kita terhadap
kedua-dua jenis urusan ini, baik ukhrawi mahupun duniawi.
Definisi aurat
Dari segi bahasa, aurat membawa maksud kecacatan atau keaiban pada
sesuatu. Ia juga bermaksud apa jua yang ditutupi oleh manusia kerana
rasa malu
[1]. Manakala secara istilahnya, aurat bermaksud setiap anggota yang wajib ditutup dan haram untuk dilihat
[2].
Di sini, penulis akan membincangkan apakah anggota yang wajib ditutup
oleh seorang wanita Muslimah yang telah baligh. Apabila kita
membincangkan aurat yang wajib ditutup, ia mempunyai cabang yang banyak;
aurat di hadapan mahram, aurat di hadapan bukan mahram (
ajnabi),
aurat di hadapan suami, aurat di hadapan wanita Muslimah atau kafir.
Tulisan ini secara khususnya akan membincangkan aurat yang wajib ditutup
di hadapan bukan mahram. Definisi mahram dan penerangan lanjut
mengenainya akan diterangkan kemudian di dalam penulisan ini.
Dalil wajibnya menutup aurat
Kewajipan menutup aurat telah disebut oleh Allah
Ta’ala di dalam al-Quran di beberapa tempat. Antaranya, Allah Ta’ala
berfirman :
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ
فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya : Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka
menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan
janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.
Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (al-Nuur : 31)
Allah Ta’ala juga menyebut di dalam al-Quran :
وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا
فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ
مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ
سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari
haid dan mengandung) yang tidak ingin kahwin (lagi), tiadalah dosa atas
mereka menanggalkan pakaian (pakaian luar yang kalau dibuka tidak
menampakkan aurat) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan
perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah
Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Nuur : 60)
Seterusnya, Allah Ta’ala juga menyebut :
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ
الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى
أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya : Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : “
Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”.
Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu
mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. (al-Ahzab : 59)
Ini ialah perintah yang turun dari tujuh petala langit kepada para
wanita Muslimah supaya memelihara aurat dan kehormatan mereka. Dan
hendaklah para wanita bersegera untuk menyahut seruan Allah ini kerana
ia merupakan tanda keimanan, kehambaan serta kepatuhan kita kepadaNya.
Ayat-ayat suci ini diulas dan diperincikan dengan lebih lanjut oleh
hadis-hadis Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam supaya para
wanita memahami bagaimanakah untuk menutup aurat seperti yang
dikehendaki oleh agama dan bukannya menutup aurat mengikut syariat
sendiri ataupun kemahuan sendiri.
Dalam masalah aurat ini, Dr. Abdul Karim Zaidan
hafizhahullah mengatakan
kaedah yang diguna pakai secara umumnya ialah : “Setiap aurat wanita
wajib ditutup dan disembunyikan dari pandangan lelaki yang bukan mahram,
dan anggota badan wanita yang bukan aurat boleh dinampakkan dan tidak
perlu ditutup dari pandangan lelaki yang bukan mahram melainkan jika ada
sebab-sebab tertentu”
[3].
Apakah anggota badan wanita yang dikira aurat dan apa pula yang bukan
aurat? Majoriti para ulama’ mengatakan bahawa seluruh anggota badan
wanita ialah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ibn ‘Abbas
radhiyallahu ‘anhu menafsirkan ‘
kecuali yang (biasa) nampak daripadanya’ dari ayat 31 dalam surah al-Nuur sebagai muka dan tapak tangan
[4].
Jadi setiap wanita Muslimah yang telah baligh wajib menutup seluruh
anggota badannya dari pandangan lelaki yang bukan mahram kecuali muka
dan kedua tapak tangannya.
Dalam sebuah hadis Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah
radhiyallahu ‘anha maksudnya : “Asma’ binti Abi Bakr al-Siddiq masuk menemui Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam dan dia memakai pakaian yang nipis, Baginda
shallallahu ‘alayhi wa sallam berpaling
daripadanya dan berkata : ‘Wahai Asma’, sekiranya seorang wanita telah
didatangi haid, anggota badannya tidak boleh diperlihatkan kecuali ini
dan ini’, Baginda
shallallahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan ke mukanya dan kedua tapak tangannya”
[5].
Syarat pakaian wanita Muslimah
Menutup aurat bukanlah juga semata-mata tidak menampakkan anggota
badan kecuali muka dan tapak tangan, tetapi syariat Islam telah
menetapkan beberapa syarat pada pakaian wanita Muslimah. Setiap syarat
ini perlu dipatuhi supaya ianya memenuhi maksud menutup aurat itu
sendiri. Jika salah satu syarat ini tidak dilaksanakan oleh seseorang
wanita itu, maka ia tidak dikira sebagai menutup aurat.
Pertama; hendaklah pakaian itu melitupi seluruh badan kecuali anggota yang bukan aurat. Syarat
ini telah dibahaskan serba-sedikit di atas. Di sini, penulis akan
menyebutkan jenis-jenis pakaian wanita yang digunakan untuk menutup
aurat.
1)
Khimar (tudung). Perkataan
khimar ini ada disebutkan di dalam al-Quran dalam surah al-Nur ayat 31. Allah Ta’ala berfirman : وَلْيَضْرِبْنَ
بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ.
Khimar bermaksud
kain yang digunakan untuk menutup kepala. Disebutkan di dalam tafsir
al-Qurtubi bahawa sebab ayat ini turun adalah kerana wanita pada masa
itu memakai tudung dengan mengikatnya dan melabuhkannya ke belakang,
oleh itu ia menampakkan leher dan telinga. Kemudian Allah memerintahkan
supaya tudung tersebut dilabuhkan ke atas tempat potongan leher supaya
ia menutup dada mereka
[6].
Oleh itu, dari ayat ini serta sebab turunnya ayat ini, jelaslah seorang
wanita Muslimah itu mesti memakai tudung dengan sempurna dengan tidak
menampakkan leher, telinga dan dada.
2)
Jilbab. Perkataan jilbab disebut di dalam
al-Quran dalam surah al-Ahzab ayat 59. Allah Ta’ala berfirman : يَا
أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ
الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ
جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا. Ibn al-‘Arabi
rahimahullah
berkata mengenai tafsir ayat di atas : ‘Manusia berselisih pendapat
mengenai makna ‘jilbab’ dengan lafaz yang saling menghampiri maknanya
antara satu sama lain. Secara umumnya, ia adalah baju yang dipakai untuk
menutup seluruh anggota badan’
[7].
Jilbab atau dalam erti kata lainnya, pakaian yang menutup aurat wanita
itu wajib dipakai ketika keluar dari rumah supaya aurat wanita
terlindung dari pandangan lelaki ajnabi. Selain itu, ia juga wajib
dipakai walaupun di dalam rumah sekiranya ada lelaki yang bukan mahram.
Ini adalah satu perkara yang sering disalah fahami oleh wanita zaman
sekarang. Mereka beranggapan bahawa menutup aurat itu hanya apabila
keluar dari rumah sedangkan aurat itu perlu ditutup dari terlihat oleh
lelaki yang bukan mahram, tidak kiralah walau di mana jua pun tempatnya.
Kita telah mengetahui bahawa wanita wajib menutup seluruh anggota
badannya kecuali muka dan tapak tangan, adakah ini bermakna panjang kain
wanita itu tiada hadnya dan dia boleh melabuhkannya sesuka hati? Kita
lihat suatu hadis yang berbunyi : ‘Ummu Salamah
radhiyallahu ‘anha isteri Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepada Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam ketika
Baginda menyebut mengenai kain sarung (larangan melabuhkannya bagi
lelaki) : Bagaimana pula dengan wanita wahai Rasulullah? Baginda berkata
: Labuhkanlah ia sejengkal. Ummu Salamah berkata : Jadi akan
terlihatlah kaki kami. Baginda berkata lagi :
Labuhkanlah sehasta dan tidak boleh lebih dari itu’
[8].
Maksud hadis ini ialah wanita boleh melabuhkan kainnya dengan kadar
sehasta dari paras tengah betis dan tidak boleh lebih dari itu kerana
hadis ini telah jelas melarangnya. Pada zaman Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam, para wanita melabuhkan kain untuk menutup kedua kakinya.
Kedua; hendaklah pakaian itu tebal dan tidak nipis. Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata
: ‘Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku lihat : satu
kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia
dengannya, dan
wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang,
mereka jauh dari ketaatan kepada Allah serta mengajar yang lain tentang
perbuatan mereka (tidak menutup aurat), kepala mereka seperti bonggol
unta, mereka ini tidak masuk syurga dan tidak mencium bau syurga
sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak ini dan ini’
[9].
Hadis ini menunjukkan bahawa haramnya bagi seorang
wanita untuk memakai pakaian yang nipis yang menampakkan warna kulit.
Ibn Abd al-Barr berkata : ‘Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam memaksudkan
wanita yang memakai pakaian yang nipis yang menyifatkan badan mereka
serta tidak menutupinya, mereka ini secara namanya berpakaian tetapi
pada hakikatnya bertelanjang’
[10].
Ketiga; hendaklah pakaian itu longgar dan tidak ketat. Pakaian
yang ketat dan menampakkan susuk tubuh wanita tidak memenuhi maksud
menutup aurat kerana ia boleh membangkitkan syahwat dan mendatangkan
fitnah serta kerosakan. Pakaian yang ketat tetap dilarang walaupun ianya
tebal dan tidak nipis. Dalam sebuah hadis dari Ibn Usamah bin Zaid dari
bapanya, beliau berkata : ‘Rasulullah
shallallahu ‘alayhi wa sallam memakaikan aku
qubtiyyah (sejenis pakaian dari Mesir yang nipis berwarna putih)
yang tebal, yang dihadiahkan oleh Dihyah al-Kalbi. Lalu aku memakaikannya pada isteriku. Rasulullah
shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepadaku : ‘Mengapa kamu tidak memakai
qubtiyyah?’ Aku berkata : ‘Wahai Rasulullah, aku telah memakaikannya pada isteriku’. Baginda
shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Pergilah kepadanya dan suruhlah dia memakai
ghilalah[11] di bawahnya, sesungguhnya aku takut ia akan menampakkan susuk tubuhnya’
[12].
Apakah faedahnya memakai pakaian lain di dalam
sedangkan baju tersebut adalah tebal? Ini kerana ada baju yang boleh
menampakkan susuk tubuh walaupun ia tebal kerana tekstur baju tersebut
yang lembut dan licin. Maka oleh itu, wanita perlulah memakai pakaian
lain di dalamnya supaya tidak menampakkan lekuk tubuh. Begitu juga jika
pada asalnya baju tersebut memang ternyata ketat dan mengikut bentuk
tubuh badan, maka ia juga tidak memenuhi syarat menutup aurat dan
seorang wanita Muslimah tidak boleh berpakaian sedemikian rupa.
Keempat; pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian lelaki. Ibn ‘Abbas
radhiyallahu ‘anhu berkata : ‘Rasulullah
shallallahu ‘alayhi wa sallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki’
[13].
Apabila dalam suatu hadis menyebut perkataan ‘laknat’, ini membawa
maksud bahawa perbuatan itu merupakan suatu dosa yang besar. Terdapat
banyak lagi hadis yang melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita
menyerupai lelaki. Ibn Hajar
rahimahullah menjelaskan bahawa
perkara yang dilarang serupa antara lelaki dan wanita ialah pakaian,
perhiasan, cara bercakap dan cara berjalan
[14].
Definisi mahram
Adalah amat penting bagi para wanita untuk mengetahui
siapakah mahram mereka supaya mereka dapat menjaga aurat dari terlihat
oleh orang yang tidak sepatutnya. Mahram ialah lelaki yang haram
dikahwini oleh seseorang wanita buat selama-lamanya contohnya bapa
kepada si perempuan. ‘Kemahraman’ seseorang itu boleh terjadi sebab
nasab (keturunan), penyusuan atau
al-mushoharah (disebabkan oleh perkahwinan).
Mahram dari sebab keturunan disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat 31 surah al-Nur. Mereka ialah :
- Bapa; iaitu bapa dan ke atas (datuk, moyang dan seterusnya) kepada si perempuan, samada dari sebelah bapa atau ibunya.
- Anak lelaki; iaitu anak kepada si perempuan. Termasuk di dalamnya
ialah anak lelaki kepada anak (cucu) dan ke bawah, samada daripada anak
lelaki atau perempuan.
- Adik-beradik lelaki; samada daripada yang seibu dan sebapa, atau seibu sahaja atau sebapa sahaja.
- Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki dan ke bawah.
- Anak lelaki kepada adik-beradik perempuan dan ke bawah.
- Bapa saudara dari sebelah ibu dan bapa; mereka adalah mahram yang
disebabkan keturunan walaupun tidak disebutkan dalam ayat 31 surah
al-Nur. Ini kerana mereka menduduki tempat ibubapa. Bapa saudara turut
dipanggil bapa; ini direkodkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah
ayat 133, apabila anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam berkata : ‘Kami (akan) menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu (iaitu) Ibrahim, Isma’il dan Ishaq..’. Nabi Isma’il ‘alayhis-salam adalah bapa saudara kepada anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam.
Manakala mahram yang disebabkan oleh penyusuan pula disebut dalam suatu hadis dari ‘Aisyah
radhiyallahu ‘anha
beliau berkata : Selepas turunnya ayat hijab, Aflah, saudara kepada Abu
Qu’ais, meminta izin daripadaku untuk masuk, aku berkata : Aku tidak
akan benarkan sehinggalah aku minta izin daripada Rasulullah
shallallahu ‘alayhi wa sallam, ini kerana bukan Abu Qu’ais yang menyusukan aku tetapi isterinya yang telah menyusukan aku. Kemudian Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam masuk
kepadaku, lalu aku berkata kepada Baginda : Aflah, saudara Abu Qu’ais
meminta izin kepadaku tetapi aku tidak benarkan sehinggalah aku meminta
izin darimu. Lalu berkata Nabi
shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Apa yang menghalang engkau untuk membenarkan bapa saudaramu masuk kepadamu?’ Aku berkata
: Wahai Rasulullah, sesungguhnya bukan lelaki itu yang menyusukan aku tetapi isteri Abu Qu’ais yang menyusukan aku. Baginda
shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata
: ‘Izinkanlah dia, sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu’. Berkata
‘Urwah : Oleh itu, ‘Aisyah mengatakan apa yang haram disebabkan
keturunan itu adalah haram juga disebabkan penyusuan
[15].
Dan mahram yang disebabkan oleh
mushoharah bermaksud mahram
yang disebabkan oleh perkahwinan. Contohnya, bapa kepada si suami (bapa
mertua) menjadi mahram dan haram berkahwin dengannya selama-lamanya
walaupun perempuan tadi telah bercerai dengan suaminya. Begitu juga anak
lelaki kepada si suami yang datang daripada isterinya yang lain juga
menjadi mahram kepada perempuan tadi. Dan suaminya juga menjadi mahram
kepada ibu perempuan.
Inilah serba-sedikit perincian mengenai hukum-hakam dalam menutup
aurat. Semoga para wanita Muslimah dapat memahami apakah tuntutan syara’
yang sebenar dalam kewajipan mereka untuk menutup aurat dan semoga
setiap butir ilmu ini dijadikan amalan dan praktikal dalam kehidupan
seharian. Allahu’alam.